• Skip to primary navigation
  • Skip to main content

wanzepah

  • Utama
  • Blog
  • Foto
  • Tentang
  • Hubungi
  • Show Search
Hide Search

Pengalaman Saya Menggunakan i-Learn ACE untuk SPM

21 Ogos 2026

Untuk post kali ini, saya decide untuk tulis tentang pengalaman saya menggunakan satu platform pembelajaran sebelum mengambil SPM, iaitu i-Learn ACE.

Nota: Saya akan hanya berkongsi beberapa feature i-Learn ACE yang saya selalu guna dalam post ini. Ia bukan ulasan menyeluruh tentang semua feature yang disediakan.

Apa itu i-Learn ACE?

i-Learn ACE ialah sebuah platform pembelajaran yang ditubuhkan oleh Sasbadi. Saya dah gunakan platform ini sejak sekolah rendah sampailah saya ambil SPM. Boleh kata saya dah lama saya gunakan platform ini untuk saya buat latihan. Saya rasa inilah antara penyumbang terbesar kepada kejayaan saya untuk meraih straight A+ dalam peperiksaan SPM.

Apa yang ada dalam i-Learn ACE?

Dalam i-Learn ACE, antara feature yang ada:

  • Latihan topikal objektif, subjektif dan kertas ujian untuk pelbagai subjek
  • Nota untuk pelbagai subjek
  • Leaderboard untuk tengok kedudukan anda dan pengguna i-Learn ACE yang lain

Macam mana latihan objektif dalam i-Learn ACE?

Untuk latihan objektif, ada tiga aras kesukaran yang anda boleh pilih iaitu mudah, sederhana dan sukar. Setiap set mengandungi 20 soalan dan setiap soalan mempunyai empat pilihan jawapan.

Selepas anda selesai jawab satu set latihan objektif, jawapan anda akan dinilai secara automatik dan markah yang anda peroleh akan terus dipaparkan.

Untuk suatu topik, anda hanya boleh jawab tiga set latihan objektif dalam satu sesi. Selepas habis tiga set tersebut, anda perlu tunggu lebih kurang tiga jam sebelum boleh buat latihan untuk topik yang sama semula.

Semua latihan objektif yang pernah anda buat akan direkodkan. Jadi, anda boleh tengok semula prestasi anda dan statistik pencapaian secara keseluruhan di laman Kemajuan. Di sini, saya lampirkan screenshot statistik keseluruhan untuk latihan objektif subjek biologi yang saya buat sebelum SPM. Ini juga menjadi salah satu bukti yang saya betul-betul menggunakan i-Learn ACE.

Satu lagi perkara yang agak menarik ialah ibu bapa juga boleh memantau latihan yang anda buat. Ibu bapa akan menerima e-mel apabila anda buat latihan. Melalui emel tersebut, mereka boleh tahu kita buat latihan untuk subjek apa dan berapa markah yang kita dapat.

Macam mana pula dengan latihan subjektif dalam i-Learn ACE?

i-Learn ACE juga ada sediakan latihan subjektif. Tetapi, ada satu perbezaan besar kalau dibandingkan latihan objektif.

Untuk latihan objektif, jawapan kita dinilai dan markah terus dipaparkan. Tetapi untuk latihan subjektif, ia sebaliknya: jawapan anda tak akan dinilai secara automatik dan anda juga tidak akan mendapat markah. Maksudnya, anda perlu semak dan nilai sendiri jawapan anda berdasarkan skema yang akan diberikan apabila anda dah jawab latihan subjektif.

Macam mana leaderboard berfungsi?

Kedudukan anda pada leaderboard adalah berdasarkan bilangan A yang anda peroleh bila anda buat set latihan objektif. Lagi banyak set latihan objektif yang anda jawab dapat gred A, lagi tinggi kedudukan anda pada leaderboard. Leaderboard akan reset pada setiap bulan.

Saya tak tahulah macam mana sekarang tapi masa saya sekolah rendah dulu, saya ingat lagi yang agak sengitlah kalau saya nak naikkan ranking saya pada leaderboard. Hari-hari, waktu saya log in ke dalam akaun saya, saya tengok kedudukan saya mesti berubah. Inilah jadi suatu motivasi kepada saya untuk buat lebih banyak latihan. Bila saya dah sekolah menegah, tak sengit dah. Mungkin sebab dah tak ramai yang guna. Saya pun dah tak lagi bergantung kepada leaderboard sebagai motivasi untuk saya belajar.

Apa-apa pun, selalunya bilangan A yang yang saya ada berpuluh-puluh. Kadang-kadang, beratus. Cumanya, saya tak jumpa screenshot untuk saya letak dekat sini sebagai bukti. Huhu…

Adakah i-Learn ACE boleh digunakan secara percuma?

Unfortunately, no. Anda perlu bayar lebih kurang RM300 setahun untuk akses semua feature yang ada dalam i-Learn ACE. Ya, agak mahal tetapi sangatlah berbaloi berdasarkan pengalaman saya.

Anda boleh tengok dalam screenshot di bawah macam mana kalau anda ada akaun i-Learn ACE tetapi tak melanggan. Anda tidak boleh akses feature yang ada. Contohnya, latihan objektif.

Macam mana i-Learn ACE kalau dibandingkan dengan Pandai?

Sejujurnya, saya tak pernah guna Pandai. Kalau anda tak tahu Pandai tu apa, ia merupakan platform pembelajaran yang agak popular sekarang. Jadinya, saya tak boleh nak buat perbandingan yang adil. Lagipun, saya cuma nak share pengalaman saya sendiri menggunakan i-Learn ACE dalam post ini

Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati guna i-Learn ACE. Itu sahaja untuk post kali ini. Kalau anda ada apa-apa pertanyaan tentang i-Learn ACE atau cara belajar ke, boleh hubungi saya di sini: Hubungi

Filed Under: Uncategorized

Hak Cipta © 2026 wanzepah ยท Dasar Privasi